Setiap insan di dunia ini dikurniakan oleh Allah dengan emosi yang pelbagai. Adakalanya kita berasa gembira, sedih, marah, geram dan sebagainya. Sepanjang kehidupan kita, sudah pasti kita tidak akan terlepas dari merasa marah terhadap sesuatu perkara yang menyakitkan hati kita. Walau bagaimanapun, sebagai seorang yang dikurniakan akal dan fikiran yang waras, kita seharusnya mampu mengawal kemarahan dengan baik.  Ibarat kata pujangga "Orang yang benar-benar hebat bukanlah seseorang yang mampu mengalahkan orang lain, melainkan ia yang mampu mengalahkan diri sendiri"

Jika kita pernah mendengar mengenai kisah ular dengan gergaji, ia seharusnya dapat dijadikan teladan dalam mengawal rasa marah agar tidak menguasai diri kita.

 KISAH ULAR DAN GERGAJI

Suatu malam seekor ular memasuki gudang tempat kerja tukang kayu.
Secara kebetulan ia merayap di atas gergaji. Tajamnya mata gergaji menyebabkan perut ular terluka.

Ular yang menganggap  gergaji itu menyerangnya terus membalas  dengan mematuk gergaji itu berkali-kali. Serangan tersebut menyebabkan mulutnya terluka. Oleh kerana terlalu marah, ular berkenaan membelit gergaji tersebut sekuat hati sehingga menyebabkan dirinya sendiri luka parah dan akhirnya mati di situ.

Demikianlah keadaan jika kita terlalu  marah, rasanya mudah sekali bagi kita untuk melukai dan menyakiti orang lain. Sebaliknya jika difikirkan kembali, sebenarnya yang akan terluka dan tersakiti adalah diri kita sendiri.

Justeru, marah biarlah pada tempat dan situasi yang betul. Emosi marah yang tidak terkawal ibarat api yang di simbah dengan minyak. Semakin banyak minyak di simbah, semakin marak api yang membakar.

 

 Disediakan oleh:

Wan Saniah Wan Yahya

Pusat Kaunseling