Setiap insan di dunia ini dikurniakan oleh Allah dengan emosi yang pelbagai. Adakalanya kita berasa gembira, sedih, marah, geram dan sebagainya. Sepanjang kehidupan kita, sudah pasti kita tidak akan terlepas dari merasa marah terhadap sesuatu perkara yang menyakitkan hati kita. Walau bagaimanapun, sebagai seorang yang dikurniakan akal dan fikiran yang waras, kita seharusnya mampu mengawal kemarahan dengan baik.  Ibarat kata pujangga "Orang yang benar-benar hebat bukanlah seseorang yang mampu mengalahkan orang lain, melainkan ia yang mampu mengalahkan diri sendiri"

Jika kita pernah mendengar mengenai kisah ular dengan gergaji, ia seharusnya dapat dijadikan teladan dalam mengawal rasa marah agar tidak menguasai diri kita.

 KISAH ULAR DAN GERGAJI

Suatu malam seekor ular memasuki gudang tempat kerja tukang kayu.
Secara kebetulan ia merayap di atas gergaji. Tajamnya mata gergaji menyebabkan perut ular terluka.

Ular yang menganggap  gergaji itu menyerangnya terus membalas  dengan mematuk gergaji itu berkali-kali. Serangan tersebut menyebabkan mulutnya terluka. Oleh kerana terlalu marah, ular berkenaan membelit gergaji tersebut sekuat hati sehingga menyebabkan dirinya sendiri luka parah dan akhirnya mati di situ.

Demikianlah keadaan jika kita terlalu  marah, rasanya mudah sekali bagi kita untuk melukai dan menyakiti orang lain. Sebaliknya jika difikirkan kembali, sebenarnya yang akan terluka dan tersakiti adalah diri kita sendiri.

Justeru, marah biarlah pada tempat dan situasi yang betul. Emosi marah yang tidak terkawal ibarat api yang di simbah dengan minyak. Semakin banyak minyak di simbah, semakin marak api yang membakar.

 

 Disediakan oleh:

Wan Saniah Wan Yahya

Pusat Kaunseling

Pengenalan

Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak tumpuan diberikan terhadap kesihatan mental. Selaras dengan kemajuan negara kita yang kini berkembang, masalah kesihatan mental dan penyakit mental telah menjadi semakin bertambah dan terdapat peningkatan dari tahun ke tahun. Didapati, peningkatan yang ketara dalam kadar bunuh diri dan penyakit mental sejak sedekad lalu berpunca daripada tahap kesihatan mental yang lemah. Oleh itu, adalah penting untuk rakyat Malaysia menyedari tentang pentingnya kesedaran terhadap penyakit mental, kepentingan memelihara tahap kesihatan mental yang baik dan mengenal pasti gejala-gejala masalah kesihatan mental yang memerlukan intervensi dan rawatan.

Fakta:

Definisi kesihatan secara menyeluruh tidak hanya tertumpu kepada kesihatan fizikal tetapi merangkumi kesihatan mental. Mengikut takrifan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) : ” Kesihatan adalah satu keadaan merangkumi kesihatan secara fizikal, mental dan sosial dan tidak hanya ketiadaan penyakit”. Untuk memahami tentang masalah kesihatan mental, kita perlu memahami konsep kesihatan mental terlebih dahulu.Terdapat perbezaan yang besar diantara kesihatan mental dan penyakit mental. Oleh itu, kita tidak seharusnya menggunakan istilah ini secara tukar-ganti. Seseorang individu yang normal mungkin tidak mempunyai kesihatan mental yang baik pada setiap masa, tetapi masih lagi berupaya untuk melakukan aktiviti seharian seperti biasa. Berlainan pula dengan mereka yang mempunyai penyakit mental, dimana fungsi seharian akan terjejas. Secara umumnya, kesihatan mental menggambarkan tahap kesejahteraan pemikiran dan emosi seseorang individu.

Definisi kesihatan mental:

Tiada istilah rasmi atau satu definisi tetap tentang kesihatan mental. Perbezaan budaya, penilaian yang subjektif dan teori professional telah mempengaruhi bagaimana kesihatan mental ditakrifkan. Kesihatan mental adalah satu keadaan yang sejahtera di mana seseorang individu menyedari tentang keupayaan diri, dapat mengendalikan tekanan dengan baik, dapat bekerja secara produktif dan mampu menyumbang kepada masyarakat. Ini bermaksud, kesihatan mental adalah asas kepada kesejahteraan individu dan kemampuan masyarakat berfungsi secara effektif. Kesihatan mental adalah ekspresi emosi dan melambangkan keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai tekanan dan tuntutan hidup.

Walau bagaimanapun, tidak terdapat garis penentu yang jelas dalam membezakan antara mereka yang mempunyai kesihatan mental yang baik dan mereka yang tidak.Terdapat banyak tahap dalam kesihatan mental.Tiada satu kriteria yang boleh digunakan untuk membuktikan kesihatan mental yang baik.Tiada seorang individu pun yang mempunyai semua ciri-ciri kesihatan mental yang baik pada setiap masa.Ia banyak bergantung kepada faktor individu, sosial dan persekitaran.Terdapat beberapa faktor sosial, psikologikal dan biologikal yang menentukan tahap kesihatan mental seseorang pada satu-satu masa. Kesihatan mental boleh terjejas disebabkan masalah sosio-ekonomi, pertukaran keadaan persekitaran/sosial secara mendadak, tekanan di tempat kerja, dan penyakit fizikal.Tidak seperti masalah kesihatan mental, mereka yang mempunyai penyakit mental pula mengalami satu keadaaan dimana tahap mental seseorang itu menyebabkan fungsi seharian individu itu terjejas sama ada dari segi sosial atau pun pekerjaan. Ia memerlukan rawatan.

Epidemiologi

Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan yang ke -3, yang telah dijalankan pada tahun 2006 telah membolehkan kita mendapat maklumat tentang tahap kesihatan mental di kalangan dewasa di Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas. Ini adalah bedasarkan kertas soal-selidik “General Health Questionnaire” mengandungi 28 item yang digunakan di seluruh dunia untuk menyaring kesejahteraan psikologikal seseorang.

Didapati dari hasil kajian:

  • Prevalens keseluruhan – 11.2% daripada rakyat Malaysia yang dewasa mempunyai morbiditi psikiatri /mental dimana kadar tertinggi adalah di kalangan yang berbangsa cina dengan 31.1%.
  • Jantina – Lebih ramai wanita mengalami masalah mental (55%) berbanding lelaki (45%)
  • Penempatan – Masalah mental adalah lebih tinggi di kalangan masyarakat bandar (12.6%)  berbanding luar bandar(8.5 %)
  • Tahap pendidikan – masalah mental adalah lebih tinggi di kalangan mereka yang tiada pendidikan atau berpendidikan  rendah (15-16%)
  • Status perkahwinan – kadar adalah paling tinggi di kalangan mereka yang bercerai (13.6%); diikuti oleh bujang (13.1%) balu (12.2%) dan mereka yang berkahwin. (10.5%)
  • Pemikiran utuk membunuh diri – Prevalens keseluruhan untuk pemikiran bunuh diri yang akut adalah 6.4%, dengan kadar tertinggi di kalangan remaja dan  peringkat awal dewasa berumur antara 16-24  iaitu sebanyak 11%
  • Gangguan tidur (insomnia)– kadar keseluruhan adalah 14% dengan mereka yang berumur antara 70-74 tahun mempunyai prevalens tertinggi sebanyak  20%.

Penemuan di atas adalah petunjuk kepada keadaan kesihatan mental di kalangan penduduk dewasa di Malaysia ketika soal-selidik dijalankan. Ia tidak menunjukkan secara khusus kepada penyakit mental yang spesifik.

((Psychiatric Morbidity, a Report of the Third National Health and Morbidity Survey, 2006. Institute of Public Health, Ministry of Health Malaysia, 2008)

Tanda dan Gejala

Gejala dan tanda-tanda kesihatan mental yang terjejas boleh timbul akibat dari tekanan secara fizikal, sosial dan persekitaran. Ia terjadi apabila seseorang itu mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri atau menangani tekanan. Ia boleh mempengaruhi kesihatan fizikal dan boleh menjadi di luar kawalan. Ini akan menyebabkan keadaan fizikal dan emosi seseorang itu terjejas.

Tiga bahagian utama yang mungkin terjejas adalah:

  • Fisiologikal : Ia menyebabkan seseorang itu cenderung untuk mendapat atau memburukkan lagi penyakit fizikal seperti penyakit jantung dan darah tinggi, menyebabkan sakit kepala dan kesakitan otot.
  • Tingkah laku : Prestasi kerja mungkin menurun, cenderung untuk mengalami kemalangan, tidak hadir bertugas, bertindak agresif dan mudah marah, sukar membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.
  • Psikologi : Timbul rasa tidak puas hati, mudah terasa, ,murung dan berasa penat secara emosi. Antara gejala biasa yang menunjukkan kesihatan mental terjejas adalah panas baran, sukar tidur, hilang selera makan, turun berat badan, gemuruh, berdebar-debar dan tidak bersemangat.

Komplikasi

Jika seseorang individu itu terdedah kepada tekanan berterusan dan tidak berupaya mengendalikan tekanan, mereka mungkin mendapat penyakit mental. Terdapat kaitan yang jelas di antara tekanan hidup dan penyakit mental. Risiko untuk penyakit mental adalah lebih tinggi di kalangan mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit mental,faktor psikologi dan masalah personaliti tertentu , ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak dan keabnormalan otak. Seseorang individu itu akhirnya berpotensi mendapat penyakit seperti kemurungan, penyakit Bipolar dan Skizofrenia.

Rawatan

Tiada rawatan ubatan diperlukan untuk kesihatan mental yang terjejas. Walau bagaimanapun, langkah pencegahan perlu dilakukan agar ia tidak berkembang menjadi penyakit mental.

Pencegahan

Untuk individu, antara langkah-langkah pencegahan yang boleh dilakukan adalah memperbaiki strategi menangani masalah, mengukuhkan sokongan sosial dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Pada peringkat yang lebih besar, penekanan perlu diberikan kepada promosi kesihatan mental. Promosi kesihatan mental memerlukan penglibatan pelbagai pihak seperi sektor kerajaan, swasta dan organisasi komuniti.Tumpuan harus diberikan kepada promosi kesihatan mental sepanjang hayat iaitu dari peringkat kanak-kanak lagi. Ini adalah untuk mencegah penyakit mental daripada berlaku ketika peringkat dewasa dan warga tua. Program di bawah mungkin berfaedah, iaitu

  • Intervensi awal kanak-kanak (Contoh : lawatan ke rumah untuk wanita mengandung, bantuan nutrisi/pemakanan serta kewangan untuk mereka yang kurang bernasib baik)
  • Sokongan kepada kanak-kanak dan remaja ( Contoh : Program perkembangan kanak-kanak dan remaja)
  • Program pengukuhan ekonomi golongan wanita (Contoh : memudahkan laluan pendidikan serta sistem mikro-kredit seperti Industri Kecil dan sederhana (IKS) , Amanah Ikhtiar Malaysia);
  • Sokongan sosial untuk warga emas (Contoh : Pusat komuniti dan jagaan harian)
  • Program psiko-sosial untuk kumpulan berisiko ,contohnya penduduk yang terlibat dengan bencana seperti tsunami dan banjir.
  • Aktivisi promosi kesihatan mental di sekolah (Contoh: Program menangani masalah dan krisis di kalangan murid sekolah)
  • Intervensi kesihatan mental di tempat kerja (Contoh: Program pencegahan stres).
  • Program perkembangan komunitidan kumpulan sokongan.

Menjalankan tugasan di pejabat sememangnya  memerlukan tumpuan yang tinggi. Adakalanya ia boleh menyebabkan keletihan fizikal dan emosi. Oleh itu, bagi mengekalkan kecerdasan di tempat kerja, seelok-eloknya kita memperuntukkan masa 15 minit untuk melakukan riadah ringan di luar bilik berhawa dingin. Selepas itu bolehlah meneruskan kerja seperti biasa. Berikut disertakan beberapa tips yang boleh diamalkan agar kita sentiasa kekal cerdas. 

 

  1. Lakukan pergerakan ringan

          Pergerakan ringan seperti aktiviti regangan, berjalan setempat, gerakan bangun dan duduk boleh membantu mengurangkan ketegangan setelah duduk terlalu lama             di hadapan komputer.  

 

  1. Aktiviti pernafasan 

          Aktiviti pernafasan yang betul mampu memberikan kesan relaks kepada badan. Terdapat banyak video di youtube yang mengajar teknik pernafasan yang boleh     
          dijadikan panduan. Pelajarilah untuk kebaikan diri kita. 

 

  1. Nikmati pemandangan luar

          Sesekali setelah rasa penat bekerja, cuba kita keluar dari bilik sebentar dan nikmati pemandangan di luar. Hirup udara segar agar dapat kembalikan kesegaran                    badan. 

  

  1. Banyakkan minum air kosong

          Banyak manfaat yang kita perolehi daripada amalan meminum air kosong seperti  dapat mengekalkan kesihatan, membantu melembabkan kulit, memudahkan                    proses pelawasan dan sebagainya.  

 

  1. Amalkan terapi ketawa

          Hasil daripada penyelidikan menunjukkan bahawa ketawa sebanyak 100 kali, jumlah tenaga yang digunakan adalah bersamaan dengan 10 minit mendayung kanu                atau 15 minit mengayuh basikal.- Sumber: Portal MyHEALTH KKM

 

Semoga panduan diatas dapat diamalkan agar kita kekal cerdas di tempat kerja dan dapat meningkatkan tahap produktiviti kita. Hanya tempoh 15 minit diperlukan untuk tip-tip tersebut, namun manfaat nya amat baik untuk kita semua.  

 

 

Disediakan Oleh: 

Wan Saniah Wan Yahya 

Pusat Kaunseling

 

Seorang  guru yang melihat beberapa orang muridnya sedang bertengkar dan menjerit antara satu sama lain. Lantas guru tersebut memanggil murid-murid tersebut lalu bertanya, "Mengapa orang saling menjerit ketika sedang marah? Kemudian salah seorang muridnya menjawab, “Kerana masing-masing telah hilang sabar”. Guru berkenaan bertanya lagi, “ Kenapa perlu menjerit sedangkan orang berkenaan berada berhampiran dengan kita? Sedangkan kita boleh bercakap dengan nada yang perlahan”. Murid-murid berkenaan terus terdiam. Kemudian guru berkenaan menerangkan  bahawa apabila dua orang sedang marah, maka hati mereka menjadi semakin jauh. Justeru untuk menempuh jarak yang jauh itu, mereka harus menjerit agar kata-kata mereka dapat didengari. Semakin kita marah, maka semakin keras jeritan kita disebabkan jarak kedua hati semakin jauh. Sebaliknya, cuba kita lihat kepada pasangan yang sedang bercinta. Percakapan mereka sangat lembut dan perlahan antara satu sama lain. Ini disebabkan jarak antara dua hati sangat dekat. Malahan di saat cinta mereka semakin dalam, mereka hanya perlu berbisik antara satu sama lain dan di saat hati mereka bersatu, mereka mampu memahami diri masing-masing hanya melalui pandangan mata. Justeru guru itu mengingatkan kepada  murid-muridnya, “jika berlaku pertengkaran di kalangan kamu semua, jangan biarkan hati kamu semakin jauh, jangan ucapkan perkataan-perkataan yang membuatkan hati kian jauh, kerana jika ia dibiarkan, bimbang suatu hari nanti jaraknya tidak lagi mampu kita tempuhi”.

Sudah menjadi lumrah bagi seorang manusia ingin rasa diterima dan dikasihi  oleh orang lain. Namun, kita tidak mampu menolak hakikat bahawa kadangkala tidak semua orang mempunyai pendapat dan pandangan yang sama dengan kita. Demikian juga dalam urusan pekerjaan kita seharian. Adakalanya berlaku perselisihan faham dengan rakan-rakan kita. Walau bagaimanapun, sebagai orang pekerja yang profesional, kita perlulah bijak menangani emosi kita agar hal berkenaan tidak berlarutan sehingga mengganggu tugas seharian kita. Perlu diingat bahawa kita bukan hanya bekerja untuk sehari dua sahaja di bawah bumbung yang sama. Sebagai anggota di dalam sesebuah organisasi, kita semua ibarat satu keluarga. Justeru, amat penting bagi kita untuk saling bertoleransi antara satu sama lain agar hubungan kita sentiasa harmoni dan dapat bekerja dengan lebih tenang. 



Disediakan oleh: 

Wan Saniah Wan Yahya

Pegawai Psikologi