Seorang  guru yang melihat beberapa orang muridnya sedang bertengkar dan menjerit antara satu sama lain. Lantas guru tersebut memanggil murid-murid tersebut lalu bertanya, "Mengapa orang saling menjerit ketika sedang marah? Kemudian salah seorang muridnya menjawab, “Kerana masing-masing telah hilang sabar”. Guru berkenaan bertanya lagi, “ Kenapa perlu menjerit sedangkan orang berkenaan berada berhampiran dengan kita? Sedangkan kita boleh bercakap dengan nada yang perlahan”. Murid-murid berkenaan terus terdiam. Kemudian guru berkenaan menerangkan  bahawa apabila dua orang sedang marah, maka hati mereka menjadi semakin jauh. Justeru untuk menempuh jarak yang jauh itu, mereka harus menjerit agar kata-kata mereka dapat didengari. Semakin kita marah, maka semakin keras jeritan kita disebabkan jarak kedua hati semakin jauh. Sebaliknya, cuba kita lihat kepada pasangan yang sedang bercinta. Percakapan mereka sangat lembut dan perlahan antara satu sama lain. Ini disebabkan jarak antara dua hati sangat dekat. Malahan di saat cinta mereka semakin dalam, mereka hanya perlu berbisik antara satu sama lain dan di saat hati mereka bersatu, mereka mampu memahami diri masing-masing hanya melalui pandangan mata. Justeru guru itu mengingatkan kepada  murid-muridnya, “jika berlaku pertengkaran di kalangan kamu semua, jangan biarkan hati kamu semakin jauh, jangan ucapkan perkataan-perkataan yang membuatkan hati kian jauh, kerana jika ia dibiarkan, bimbang suatu hari nanti jaraknya tidak lagi mampu kita tempuhi”.

Sudah menjadi lumrah bagi seorang manusia ingin rasa diterima dan dikasihi  oleh orang lain. Namun, kita tidak mampu menolak hakikat bahawa kadangkala tidak semua orang mempunyai pendapat dan pandangan yang sama dengan kita. Demikian juga dalam urusan pekerjaan kita seharian. Adakalanya berlaku perselisihan faham dengan rakan-rakan kita. Walau bagaimanapun, sebagai orang pekerja yang profesional, kita perlulah bijak menangani emosi kita agar hal berkenaan tidak berlarutan sehingga mengganggu tugas seharian kita. Perlu diingat bahawa kita bukan hanya bekerja untuk sehari dua sahaja di bawah bumbung yang sama. Sebagai anggota di dalam sesebuah organisasi, kita semua ibarat satu keluarga. Justeru, amat penting bagi kita untuk saling bertoleransi antara satu sama lain agar hubungan kita sentiasa harmoni dan dapat bekerja dengan lebih tenang. 



Disediakan oleh: 

Wan Saniah Wan Yahya

Pegawai Psikologi